RADIO MALAYSIA PAHANGFM

Untuk mendengar RADIO MALAYSIA PAHANGFM...Satu Pilihan...di internet sila klik

FREKUENSI PAHANGFM

Kuantan, 104.1mhz | Pekan, 104.1mhz | Rompin, 91.9mhz | Maran, 92.00mhz | Jerantut, 92.7mhz | Temerloh, Bera, Lipis, Raub, Bentong, Kuala Lumpur, Lembah Klang, Putrajaya, 107.5mhz | Kemaman, 104.1mhz

Pengikut

Custom Search

Bilangan 'Hits' Blog Kalam Damai

Realtime Online

Khamis, 24 Julai 2014

BERDOA DENGAN ASMAUL HUSNA


Resah, gelisah, stress, tekanan adalah perasaan yang didatangkan oleh Allah kepada manusia dalam menempuh kehidupan di dunia ini. Keadaan rasa ini jika dilalui dengan jalan positif, ia boleh menjadi faktor penggalak kepada sesuatu usaha yang sedang dicapai. Namun, jika ia dilalui dengan rasa yang negatif, ia boleh mengganggu kehidupan secara keseluruhan.

Rasa ini sebenarnya memanggil diri untuk kembali kepada Tuhannya Yang Maha Luas, yang membawa diri manusia keluar dari tekanan secara hakiki, yang benar berkuasa atas tiap sesuatu dalam mencipta dan mentadbir semesta alam.

Lalu, diri akan kembali tenang, kerana diri 'bersandar' kepada Yang Maha Luas, lagi Maha Berkuasa. Apa jua yang ada dalam alam ini, adalah di dalam Kekuasaan Allah, maka apa yang kita hadapi itu adalah dalam Kuasa Allah jua untuk menemui jalan penyelesaiannya.

Allah Berkuasa menerbitkan matahari setiap hari dan menenggelamkannya, maka apalah kiranya masalah kita yang jauh lebih kecil dari matahari itu untuk diselesaikan oleh Allah. Cuma, adakah sebenarnya kita sudah kembalikan diri kepada-Nya dalam menghadapi kesulitan itu? Kembalilah!, antara lain, melalui jalan Zikir Asmaul Husna ini.

Amin.

Isnin, 12 Mei 2014


Kehidupan ini perlukan keseimbangan. Seimbang dalam erti kata yang sebenar. Al-Quran telah menjelaskan, kehidupan itu ada dua. Pertama, kehidupan di dunia. Kedua, kehidupan di ahkirat.

Kehidupan di dunia, adalah satu kehidupan yang perlu dinikmati dengan penghambaan diri kepada Allah dan mengurus tadbir dunia sebagai khalifah Allah.

Pengisian hidup di dunia harus seimbang dalam kehidupan secara individu, keluarga dan juga masyarakat. Keseimbangan ini akan membuahkan kebahagian.

Neraca timbangan itu diperkukuh kejadian manusia itu dengan unsur yang membolehkan dirinya membuat pertimbangan, iaitu akal dan hati.

Kehidupan yang kedua adalah kehidupan di akhirat. Ia adalah kehidupan yang menerima pertimbangan baik dan jahat sepanjang hidup di dunia. Barang siapa yang berat timbangan baiknya, maka bahagialah hidupnya, jika sebaliknya, maka sengsaralah diri.

Amin.

Isnin, 17 Mac 2014

SUJUD


Sujud merupakan salah satu rukun dalam solat. Pun begitu, ada juga sujud yang disunatkan ketika membaca ayat dalam surah-surah tertentu dengan dinamakan sujud itu sebagai sujud tilawah, sujud sajdah, dan juga sujud yang diasaskan kepada rasa syukur atau gembira tentang sesuatu. Lalu, sujud itu adalah bertujuan dan inti rasanya adalah tunduk dan patuh kepada Maha Mencipta iaitu Allah sw.t.

Sujud, dalam pandang zahirnya adalah gerakan yang menundukkan kepala sehingga mencecah bumi tanda tunduk dan mengagumi untuk menyembah Allah s.w.t. Ia harus dalam bentuk iringan sujud jiwa kepada Maha Pencipta. Dengan ini, hilang rasa takbur, riak dan ujub dalam diri dan jauh daripada syirik kepada Allah Yang Maha Esa.

Amin.

Isnin, 10 Mac 2014

PENYELARASAN DALAM DIRI


Elemen dalam diri ini dapat disedari oleh setiap diri yang normal dan mukallaf. Rasa keinginan nafsu, pertimbangan dalam akal fikiran, hati yang sentiasa berbolak-balik, dan rasa diri hidup yang merangkumi roh. Empat unsur ini menjadikan seseorang itu hidup dan sentiasa mengendali dirinya untuk kelangsungan tinkah laku dan tindakan dalam kehidupannya. Akal akan menjadi matang dengan pengalaman dan penyelesaian masalah dan juga pastinya ilmu sebagai makanan yang menguatkan fungsi akal untuk berfikir dan menimbang soal salah dan betul. Hati pula sering berbolak-balik menentukan pilihan untuk menjadikan diri bertindak dengan tingkah laku. Lalu, hati itu boleh ditenangkan dengan makanan zikir yang menguatkan ketetapannya sebagai raja pembuat keputusan. Semua itu dilaraskan terlebih awal dengan kehendak dan keinginan dari nafsu yang baik atau sebaliknya. Dan roh, menjadikan semuanya berfungsi sebagai satu kehidupan kepada jasad.

Isnin, 24 Februari 2014

KAWALAN DIRI


Proses membawa tindakan yang tepat dalam kehidupan ini menjadi idaman semua daripada kita. Ia bermula dengan meletakkan usaha diri membawa kepada tahap pengupayaan nafsu yang tenang dan sentosa, iaitu Nafsu Mutmainnah. Tahap nafsu ini, seseorang tidak lagi suka melakukan kejahatan dan telah kesal dan berada ke tahap yang sentiasa inginkan kebaikan dan sentiasa meningkatkannya.

Pun begitu, berdoalah sentiasa agar diri dikurnia Allah akan kebaikan sentiasa, agar diri terarah kepada kebaikan yang berpanjangan dan berterusan.

Amin.

Isnin, 17 Februari 2014

ASAS HIDUP KENAL TUHAN


Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Untuk mengingati, ia bermula dengan mengenali. Carilah permulaan bagi ketenangan itu, iaitu dengan cara mengenali. Langkah itu terbentang luas di hadapan kita. Jangan sia-siakan ruang, peluang dan masa yang ada pada kita.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk terus mengenali dan sentiasa mengingati-Nya dalam usaha mendapatkan ketenangan yang begitu indah untuk jiwa dan murani kita.

Amin...

Khamis, 13 Februari 2014

ALAM ROH, ALAM DUNIA, ALAM AKHIRAT


Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera, Semua...

:)

Perjalanan hidup kita di dunia ini sangat unik. Hidup yang sementera ini adalah menjadi medan ujian dan penilaian bagi kita, siapa yang terbaik amalannya.

Dunia hanya seketika, berbanding datangnya kita dari alam roh yang tiada kita ketahui akan mulanya, dan kita akan kembali semula kepada Allah dengan kematian buat selamanya dengan dihidupkan kembali untuk menerima balasan yang kekal di sisi Tuhan, yang kita mengharapkan syurga sebagai tempat abadi buat kita.

Tanamlah amalan terbaik di dunia ini, moga dengan Rahmat Allah, kita akan kembali kepada-Nya dengan jiwa yang tenang.

Amin...

Selasa, 11 Februari 2014

MEMAHAMI DIRI




Menguasai alam diri itu penting bagi setiap kita. Alam diri itu mempunyai 4 unsur, iaitu Hati, Akal, Nafsu dan Roh. Bagi mengawal diri pada tahap yang terbaik, diri perlu sentiasa dididik, diperingat, dan dilatih agar sentiasa berada dalam tahap yang terbaik.

Salam Siaran... :)

Selasa, 28 Januari 2014

IMAM DAN MAKMUM SATU JEMAAH


Imam dan makmum satu jemaah. Pemimpin dan rakyat satu negara. Ibubapa dan anak-anak satu keluarga. Guru dan murid satu sekolah. Begitulah indah susun kehidupan itu.

Bagi Allah sekelian kehidupan ini. Imam dan makmum itu diperhati Allah jua. Allah Maha Mendengar akan apa yang ada di dalam hati mereka, juga pasti mendengar yang diluahkan oleh mereka.

Hidup akan menjadi lebih bermotivasi jika kita mendalami akan sifat Allah itu. Tiada rintihan dan kesedihan dalam hidup ini, kerana kita boleh adukan kepada Allah jua.

Allah Yang Maha Mengatur kehidupan ini. Berusaha dan berdoalah kepada Allah akan segala kebaikan. Allah Maha Mengetahui akan siapa yang berusaha dan siapa pula yang tidak berusaha.

Semoga kita terus menimba ilmu tentang Kebesaran Allah.

Amin.

Jumaat, 24 Januari 2014

USAHA DAN PETUNJUK ALLAH


Masih dalam suasana asas kehidupan. Sebagai makhluk Allah yang istimewa, manusia dijadikan sebaik-baik kejadian. Pun begitu, jika manusia tiada sifat kemanusiaan, maka dia akan menjadi seburuk-buruk kejadian dan amat jahat daripada makhluk yang lain.

Antara intisari makna di dalam surah Al-Baqarah, ayat 30 hingga 34, pada kisah penciptaan Adam a.s itu banyak pengajaran yang boleh kita dapati di situ.

Manusia itu mulia dengan DUA sifat utama. Pertama, ILMU. Kedua, IKHLAS.

ILMU

Tiada suatu bangsa yang bertamadun menolak akan kepentingan ilmu. Malah, sesebuah tamadun dalam dunia ini tidak dapat dipisahkan dengan ilmu.

IKHLAS

Sifat Ikhlas merupakan puncak kepada nilai-nilai mulia dan murni dalam kehidupan manusia. Tanpa jujur, amanah, integriti, sabar, syukur, ikhlas tidak akan bertamu dalam diri manusia. Ikhlas menjadikan manusia itu bermanfaat dan budi mulianya sebagai manusia akan terpancar.

Berusahalah, moga Allah memberikan Petunjuk.

Amin.

Isnin, 20 Januari 2014

ELEMEN DALAM SOLAT



Elemen atau unsur rohani dan jasmani penting dalam menjadikan solat itu memberi impak yang baik kepada kehidupan. Solat bukan hanya gerakan fizikal semata-mata, ia adalah satu pakej lengkap untuk menjadikan manusia itu benar-benar baik.

Mari kita sama-sama teliti semula akan ibadah ini, agar kita sentiasa menambahbaik pengetahuan dan amalan solat yang sangat istimewa yang menjadi anugerah pada hari Israk dan Mikraj Nabi kita s.a.w.

SOLAT FARDHU


Keindahan susunan Solat Fardhu sehari semalam dalam kehidupan seorang muslim sangat bertepatan dengan fitrah kehidupan manusia itu sendiri. Tertakluk kepada fenomena alam dalam penetapan waktu solat fardhu itu menjadikan solat sangat sesuai untuk kebaikan manusia secara jasmani dan rohaninya.

Subuh: Ketika terbit fajar sidik atau fajar pagi.

Zohor: Ketika tergelincir matahari tengahari.

Asar: Ketika bayang matahari sudah melebihi objek pada waktu petang.

Maghrib: Ketika matahari tenggelam.

Isyak: Ketika sudah gelap malam, setelah hilang mega merah di kaki langit.

Semua waktu itu sangat menguja diri untuk menyembah Pencipta, yang menjadi permulaan sekelian waktu aktiviti manusia itu.

SOLAT DAN PENGURUSAN DIRI


Solat adalah sendi kehidupan yang membina kebaikan yang luas dalam kehidupan kita. Perjalanannya adalah bermula dengan membuka pengetahuan tentangnya. Ia adalah amalan paling utama yang terkandung di dalamnya hal rukun hidup seorang muslim. Semoga kita menjadi orang yang mendirikan solat dengan sempurna. Amin.

Isnin, 13 Januari 2014

MENCARI HIDAYAH ALLAH



Surah Al-Baqarah, ayat 164.


Maknanya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.

__________________________________________________________________________

Semua kejadian alam ini membawa diri kita mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Gunakanlah akal dan hati untuk mengenali, menghampiri dan mendekati Allah, kerana Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya.

Amin.




Jumaat, 10 Januari 2014

ILMU DAN KEHIDUPAN


Rajah menunjukkan akan kedudukan ilmu dan pengetahuan yang kita perlu faham dan ia menjadi panduan kepada hidup kita.

ILMU AQLI : adalah ilmu yang boleh dan mampu dikaji dan dicerap melalui akal dan hati manusia dengan menggunakan pancaindera dan intuisi.

ILMU NAQLI : adalah ilmu yang diwahyu oleh Allah melalui Para Rasul, dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

ILMU ALLAH YANG MAHA LUAS : Jika tulis akan ilmu Allah itu dengan lautan seluruh dunia sebagai dakwat, semua pokok sebagai pena, masih belum habis ilmu Allah itu dapat ditulis.

Jadi, ini sebagai ringkasan tentang rajah ini. Insya-Allah, kita akan bincangkan di dalam Segmen Singkap Hijab, Kalam Damai Radio Malaysia Pahangfm. Setiap Isnin, 6ptg-7mlm.

Salam Siaran :)

Isnin, 6 Januari 2014

TRANSFORMASI KALAM DAMAI


KALAM DAMAI, Santai Budi, Mencuit Sanubari...memasuki tahun yang ke-7 bersiaran di Radio Malaysia Pahangfm. Hari ini, Isnin 06 Januari 2014 bersamaan 04 Rabiul Awal 1435 adalah merupakan hari pertama bagi KD bersiaran untuk tahun 2014, insyaAllah.

Syukur kepada Allah, terima kasih kepada Puan Hajah Ruhaidah Abdullah sebagai Penerbit Rancangan serta Juruhebah bersama penyiaran. Begitu juga pastinya Radio Malaysia Pahangfm yang membawakan siaran ini melalu frekuensinya. Juga sidang pendengar yang setia bersama berkongsi pengalaman merentas masa mengisi ruang minggu mereka dengan siaran ini, serta pengunjung kalamdamai.blogspot.com.

Pada tahun ini, KD membuat beberapa pengisian baru dan penjenamaan baru bagi segmen yang disediakan. InsyaAllah pada petang ini, akan bermula segmen baru itu ke udara dengan mengekalkan elemen bual santai dalam penuh ilmiah dan bermanfaat.

Tunggukan Transformasi Kalam Damai petang ini dengan pengisian;

1. Cakna Makna.

2. Kalamullah

3. Bestari Kata

4. Singkap Hijab

5. Aspirasi 1Malaysia dan Cinta Negara

6. Soalan Kuiz Mingguan.

Semoga dengan Transformasi ini, kita peroleh manfaat bersama menyingkap makna alam dan kehidupan.

Salam Siaran.

(",)

SENARAI CATATAN TERDAHULU

MENDENGAR BACAAN AL-QURAN 'ONLINE'

Listen to Quran

Rileks-rileks...

Untuk bagi makan ikan-ikan, sila klikkan tetikus ke dalam kolam. (",)

E-MAIL KAMI

Sebarang cadangan, anda boleh emailkan kepada kalamdamai07.pahangfm@blogger.com