...SAMBUNGAN...
Ramai yang menyangka, khusyuk dalam solat itu menjadikan seseorang itu terputus segala urusan dalam kehidupannya sehingga berjerit-perih menutup mata dan seolah tidak sedarkan diri. Fana' itu bukanlah hilang akalnya, hilang pertimbangannya, hilang hidupnya. Namun, dalam bicara sufi kedudukannya sangat halus. Saya merasakan ianya perlukan satu coteran yang panjang untuk menjelaskan tentang hal fana' dalam kesufian.
Dalam suasana selesa dan biasa untuk dirasakan solat itu, kita mestilah faham akan kandungan lafaz satu demi satu yang dilafazkan. Kemudiannya, ia akan memberi impak kepada setiap patah perkataan yang dilafazkan di dalam solat.
Teringat saya ketika menghadiri kursus konsultan antarabangsa, Dale Carnergie. Saya diminta memperkenalkan diri dengan menggunakan prinsip 3P, iaitu 'pause', 'part' dan 'punch'. Ianya membawa makna dan maksud perlakuan melafazkan perkenalan itu dengan 'berhenti seketika', 'pisahkan ungkap kata', kemudiannya 'menjaga intonasi ungkapan dengan lonjakan suara yang sekata dari mula lafaz hingga hujung ayat'.
Aktiviti itu mengingatkan saya kepada 'Tajwid, Makhraj dan Qiraat' dalam membaca Al-Quran. Begitu jua solat, adakah kita telah mendapatkan makna dan maksud setiap lafaznya.
Bayangkan ketika kita berbual dengan seseorang dengan suara dan kehendak yang tidak jelas, sudah tentu komunikasi itu tidak sempurna.
Begitu jua halnya dalam solat, namun tiadalah kenyataan ini membawa maksud Allah tidak memahami apa yang tersirat di hati kita.
Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam siri-siri yang lalu, secara umumnya, dalam rukun solat itu terkandung 'Pujian dan Doa'. Inilah hal yang perlu disedari.
Doa itu adalah permintaan, permohonan dan rayuan. Dalam melafazkan Al-Fatihah pula, telah dijelaskan di dalam Hadis Qudsi bahawa saat diri yang melafazkan kata-kata pujian terhadap Allah, Allah membalas jua pujian itu dengan pujian terhadap hamba-Nya itu.
Kita akan bincangkan dengan lebih ditil dalam coretan yang akan datang tentang kandungan keseluruhan solat itu nanti.
Kita beralih kepada rajah 1:2 di atas. Dalam kehidupan kita di dunia ini,kita tidak dapat lari dari berurusan dalam hal-hal kerja yang wajib kita lakukan untuk mencari nafkah dan melaksana amanah ilmu, kemahiran dan membantu orang lain. Begitu juga halnya dalam urusan keluarga, sebagai manusia kita mempunyai naluri tentang itu. Hal pribadi sudah tentu menjadi bualan diri setiap saat dan ketika.
Urusan-urusan itu amat sukar untuk dilupakan, dalam sudut yang lain ianya sentiasa berlegar dalam diri, sama ada dalam benak akal mahupun lintasan hati. Dalam solat, kita meninggalkannya seketika dan ianya memberi ruang kepada kekuatan kita berkomunikasi dengan Pencipta dan Pentadbir Sekelian alam yang hakiki pada tempoh masa yang tertentu itu dalam membersih dan menyucikan segala prasangka dan telus tembus kepada Allah dalam masa yang dikhususkan.
Berbicara dalam solat, kita menggunakan bahasa-bahasa yakni kata-kata indah untuk memantapkan lagi segala urusan di luar solat. Saya mengambil contoh, doa diantar dua sujud yang membawa makna,
"Wahai Tuhan (Yang Mentadbir Sekelian Alam - dengan lafaz 'RABB') ampunilah aku, Rahmatilah daku, perbaikilah diriku, angkatlah darjatku, rezekikanlah aku, berilah hidayah kepadaku, sihat (afiatkanlah) daku dan ampunilah daku."Ini memperlihatkan, lafaz itu ada perkaitan untuk kelansungan hidup kita selanjutnya.
...bersambung...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan