Makna Ayat 1000 Dinar;
dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. - Surah At-Thalaaq, ayat 2-3.
Dalam kehidupan ini, kita tidak dapat keluar dari usaha, ikhtiar dan tawakal. Ikatan kehambaan dalam keTuhanan tidak dapat dipisahkan. Hidup tidak mungkin berlaku, tanpa nyawa yang Allah kurniakan. Jasad tidak mungkin terbentuk, tanpa Allah yang menciptakan.
Kehidupan ini, keseluruhannya tidak akan berlaku, tanpa ada Allah Yang Maha Kuasa mengaturkan. Sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini, kita diberi kuasa berikhtiar iaitu membuat pilihan, mana yang baik, mana yang buruk.
Allah s.w.t Maha Adil, Allah s.w.t tidak sesekali zalim ke atas makhluk-Nya. Allah s.w.t Maha Mengetahui akan apa yang terbaik untuk hamba-Nya.
Panduan telah Allah s.w.t sajikan untuk kita. Panduan yang tertulis (atau dibaca - متلو) dalam bentuk Al-Quran dan As-Sunnah. Dalam bentuk yang lain, dalam setiap apa yang Allah s.w.t jadikan dan apa jua yang berlaku itu adalah petunjuk daripada Allah s.w.t jua.
Oleh sebab itu, Allah s.w.t memerintahkan kita untuk 'IQRA' atau bacalah. Dalam konteks 'bacalah' itu, sudah pasti ada faham 'tulislah', dan pecahannya membawa kepada 'kajilah', 'analisalah', 'perhatilah' dan sebagainnya dalam konteks makna pengkajian, pengamatan dan penhayatan.
Begitulah, indahnya syariat Allah, yang mencakupi segenap kehidupan.
Usaha, Ikhtiar, Tawakal, Sabar, Syukur...
Salam Kalam Damai.
:-)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan